Tuesday, October 12, 2004

3 minggu lepas aku ada menonton satu filem korea... Teagukgi... best menarik superb kata-kata yang dapat menggambarkan filem ini...



Taegukgi filem perang kebanggaan Asia
Oleh Akmal Abdullah


FILEM nombor satu Korea ketika ini, Taegukgi tidak menjadi sebutan ramai di Malaysia kerana publisitinya yang lemah termasuk gambar posternya yang tidak menarik. Sebab itu sambutannya di pawagam begitu sederhana sedangkan persembahan visual filem itu cukup mengagumkan dan wajar ditonton peminat filem, terutamanya mereka yang cenderung pada filem aksi atau filem perang.

Semangat cerita, dramatik dan moral dalam Taegukgi begitu baik yang boleh dianggap sebagai filem perang kebanggaan Asia. Filem itu ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 16 September lalu. Ramai tidak tahu kehadiran filem ini dan seharusnya ia ditonton oleh rakyat Malaysia untuk melihat kesan buruk perang menyebabkan kehidupan bahagia menjadi porak peranda, kasih sayang terputus dan hubungan persaudaraan hilang dalam sekelip mata.

Taegukgi dalam bahasa Korea bermaksud “Persaudaraan” atau dalam maksud lain bererti ‘Perang Saudara’. Ia diarahkan oleh Kang Je-gyu, sutradara yang bertanggung jawab membawa imej baru terhadap sinema Korea menerusi filemnya, Shiri beberapa tahun lalu.

Je-gyu tampilkan filem terbarunya itu dengan berhemah dan penuh kreativiti, menampakkan hasil kerjanya bertaraf lima bintang. Filem ini ada kekuatan sebagai sebuah filem perang yang memenuhi empat elemen penting sebagai sebuah cereka layar perak - semangat intelektual, spiritual, kesan emosi dan menghiburkan. Filem ini diadun rapi dengan rentak dramatik dan konflik drama yang bercampur baur untuk mewujudkan debaran dan keresahan hingga mampu memberi kesan sinematik buat khalayak. Ia bermula dengan nostalgia yang menyorot semula pengalaman silam watak utamanya, Jin-seok lakonan Won Bin (terkenal menerusi siri Autumn In My Heart) dan satu lagi watak utama sebagai abangnya, Jin-tae, lakonan Jang Dong-Gun (bintang utama siri All About Eve) menerusi teknik imbas kembali.

Pada babak imbas kembali itulah diceritakan pergolakan dan perjuangan yang tidak berkesudahan, peperangan yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan serta penderitaan yang boleh dielakkan jika kita menyanjungi kedamaian. Apapun, perang sebagai jalan terakhir untuk mempertahankan maruah dan harga diri serta kedaulatan ibu pertiwi. Sepanjang babak perang itu, ia disajikan aspek teknikal yang menarik bersama koreografi peperangan yang indah dan ‘berkecamuk’ dilihat pada visualnya serta menepati mood situasi itu sendiri yang berada dalam serba kekalutan, betapa kerja kameranya sangat teliti dan rajin setanding atau mungkin tidak keterlaluan dikatakan mampu mengalahkan beberapa filem perang Hollywood sebelum ini.

Kekuatan visual itu disandarkan pada fakta perang dan corak peperangan itu sendiri yang mengakibatkan perang saudara di Korea meletus. Tidak hairanlah tenaga produksi filem itu mengambil masa begitu lama untuk menghasilkannya menerusi skrip dan lakon layar yang dibuat Je-gyu sendiri. Bermula dengan sebuah keluarga sederhana yang tiba-tiba situasi keluarga itu menjadi tidak menentu akibat perang, cerita keluarga itu mewakili sebahagian besar rakyat di Seoul khususnya yang terjebak dalam perang antara Korea Selatan dan Korea Utara .

Selama dua jam 20 minit mengikuti filem ini, kita bagaikan tidak terasa masa berlalu begitu lama kerana kesan dramatiknya membuatkan kita memberi tumpuan penuh untuk mengetahui sejauh mana kasih sayang dan perjuangan itu berkesudahan meskipun catatan sejarah kita sudah mengetahui kisah sebenar tragedi itu. Dalam kata lain, pengarah membawa filem ini untuk mengangkat perjuangan silam bangsa Korea Selatan yang kini bangkit menjadi negara maju biarpun era 50-an yang pernah dilalui adalah catatan hitam yang tidak harus dilupakan generasi masa kini di negara itu.

Taegukgi sarat dengan penderitaan, air mata, tragedi, pengkhianatan, kasih sayang, kemanusiaan dan kebodohan. Filem ini berlatarkan perang saudara Korea pada era 1950 hingga 1953 yang menarik lebih 13 juta penonton di Korea untuk berkunjung ke pawagam bagi menghayati sendiri pengorbanan datuk nenek mereka ketika zaman yang serba kritikal, ketika perang menjadi bahan mainan dan ketika maruah serta kuasa menjadi perhitungan.

Kos filem ini menelan bajet hampir RM20 juta dan ditayangkan pada 14 negara di Asia dan Amerika, selain di Jepun saja, ia ditayangkan menerusi 400 pawagam. Malangnya, pencinta filem Malaysia tidak mengambil peluang untuk menghayati filem ini ketika ia beraa di pawagam. Mereka harus tidak lepaskan peluang mengikuti kisah yang menyayat hati ini menerusi cakera padat video (VCD) atau cakera video digital (DVD) yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Lakonan berkesan menjadikan filem ini mempunyai merit kemanusiaan yang tinggi, selain aspek kasih sayang antara abang dan adik, ibu dan anak, tunang dan kekasih, rakan dan jiran, menjadikan ia bagaikan dekat di hati kita, mengimbau nostalgia di zaman Tanah Melayu yang suatu ketika dulu juga pernah menjadi medan peperangan ketika era pendudukan Jepun atau ketika pergerakan komunis bermaharaja lela pada era 50-an dulu.

Praproduksi filem ini juga hebat kerana ia membuat rujukan menerusi beratus-ratus buku sejarah Korea, menggunakan kostum membabitkan 19,000 pasang pakaian askar zaman 1950-an dan 1,000 pasang kasut yang ditempah khas. Ia turut menggunakan 1,000 senjata api dalam reka bentuk klasik, malahan uji bakat untuk filem ini saja membabitkan 25,000 pelakon tambahan selama enam bulan. Penggambaran Taegukgi juga begitu lama kerana ia mengambil masa sembilan bulan!

Taegukgi harus menjadi kebanggaan sebagai filem perang Asia terbaik setakat ini. Ia wajar dijadikan masterpiece untuk membuktikan warga filem Asia juga mahir bermain dengan layar perak untuk mengungkap erti peperangan menerusi visual dan teknik perfileman yang tidak boleh lari daripada kisah zaman silam. Ia bukan sekadar propaganda semata-mata tetapi menghantar mesej tebal - elakkan perang kerana ia tidak pernah membawa keuntungan dan menzalimi manusia yang tidak bersalah.

Meskipun Taegukgi berkisar mengenai perang antara Korea Selatan dan Korea Utara tetapi Je-gyu tidak bermotifkan politik atau bermain dengan agenda politik. Jauh di bawah lapisan moral filem ini mengangkat kesedaran bahawa kasih sayang tidak pernah padam biarpun dalam api perang yang sedang menyala. Manusia hidup untuk menikmati kehidupan, bukannya hidup untuk mencari kemusnahan. Taegukgi harus menjadi renungan karyawan filem tempatan untuk cuba mencari stail filem Asia sendiri kerana filem Korea ini sudah memulakan satu anjakan paradigma yang baik untuk membawa filem perang gaya baru dalam konteks semangat filem Asia.


No comments: