Tuesday, October 12, 2004



agak musykil sikit pagi ni... kat office sekarang cuma ada aku dgn razak jer... jam dah kol 9 lebih... am i missing something...??? di manakah mereka-mereka yang lain...??

semalam dalam buletin utama ada cerita pasal tanah runtuh... masyaallah.. kat Gua Tempurung lagi.... erk...semalam jugak laa aku lalu highway tuh.... alhamdulillah bukan aku yg kena...kalo tidak alamat tido terus...

=================================================
artikel dan gambar di ambil dari utusan malaysia

Lebuh raya ditutup -- Tanah runtuh di Kilometer 302 berhampiran Gua Tempurung
Oleh: ABDUL RAZAK DIN, HASHNAN ABDULLAH dan FAUZIAH AROF



IPOH 11 Okt. - Tanah runtuh berlaku di Kilometer 302 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Gua Tempurung malam ini ketika hujan lebat menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua laluan ke utara dan selatan lebuh raya tersebut mengalami keadaan kelam-kabut dan kesesakan teruk.

Seorang penunggang motosikal, Mohd. Masri Mazlan, 18, dari Triang, Pahang, patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Ipoh untuk diberi rawatan.

Sehingga tengah malam ini pihak berkuasa, pasukan Bomba dan Penyelamat serta petugas PLUS masih berusaha mengesan kemungkinan masih ada pengguna lebuh raya yang tertimbus.

Empat kenderaan termasuk sebuah lori pula turut terperangkap berhampiran tanah runtuh itu pada kejadian kira-kira 7.45 malam _ kira-kira 1.8 kilometer sahaja dari lokasi tanah runtuh di Kilometer 303.8 lebuh raya yang sama pada 6 Januari 1996.

Kesemua pemandu dan penumpang empat kenderaan terbabit bagaimanapun terselamat.

Bagi mengelak kesesakan yang lebih teruk, pihak berkuasa telah melencungkan aliran kenderaan ke Jalan Persekutuan di Tapah untuk ke utara dan Gopeng arah ke selatan.

Pada kejadian 6 Januari 1996, tebing bukit di Kilometer 303.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran gua itu runtuh dan menimbuskan sepenuhnya jalan empat lorong serta beberapa buah kenderaan yang sedang lalu termasuk sebuah van.

Seorang pemandu treler, Hamid Kodim, 34, terbunuh manakala seorang lagi terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi, kira-kira 35 kilometer dari Ipoh.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Mohd Fauzi Arshad berkata, pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja mencari kemungkinan ada mangsa terperangkap dalam runtuhan tersebut.

Pihak polis dan bomba serta petugas PLUS dikerahkan ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja membaik pulih.

Mohd. Fauzi yang dihubungi malam ini berkata, kerja mengeluarkan penghadang jalan di kawasan itu sedang dijalankan bagi membolehkan pengguna lebuh raya yang terperangkap berhampiran runtuhan meneruskan perjalanan.

Utusan Malaysia difahamkan, kejadian itu turut melibatkan pokok-pokok besar tumbang dan menggelongsor dari tebing berhampiran tempat kejadian.

Tidak jauh dari situ juga dikatakan terdapat sebatang sungai.

Di Kuala Lumpur, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu memberitahu pemberita malam ini, kerja pembersihan tidak dapat dilakukan segera kerana hujan lebat.

``Kerja-kerja pembersihan dijangka mengambil masa sehingga satu minggu bagi membersihkan lebuh raya itu daripada runtuhan besar itu,'' katanya.

Beliau menegaskan, setakat ini tiada laporan kematian diterima.

``Hanya seorang penunggang motosikal yang cedera dan telah dihantar ke hospital. Laporan yang mendakwa terdapat tiga buah kenderaan dalam kejadian sedang disiasat oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS,'' katanya.

Samy Vellu memberitahu, pihak bomba juga sedang memastikan tiada kenderaan tertimbus dalam tanah runtuh tersebut.

``Kerja-kerja mencari masih diteruskan malam ini. Jadi kita belum pasti ada kenderaan lain tertimbus atau tidak,'' katanya.

Beliau juga meminta pengguna lebuh raya mematuhi arahan PLUS dan berhati-hati semasa memandu di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Samy Vellu memberitahu, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif iaitu keluar ke Tapah dan masuk ke Jalan Persekutuan Satu sehingga ke Gopeng dan masuk semula ke Lebuh Raya Utara Selatan.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang melawat ke tempat kejadian kira-kira pukul 11 malam ini memberitahu pemberita:

``Kemungkinan terdapat renggangan pada jambatan berhampiran tempat tanah runtuh.''

Beliau berkata, ini disebabkan terdapat sebatang sungai merentasi lebuh raya tersebut.
==================================================

Allah maha berkuasa....


No comments: